Penternakan
kambing adalah satu bidang usahawan yang mencabar dan menuntut
keupayaan serta komitmen penternak untuk menyediakan makanan dan
persekitaran yang sesuai, tetapi juga perlu sentiasa peka dan memahami
tingkah laku serta keperluan biologi kambing tersebut (aset hidup yang
bernilai tinggi).
Secara saintifiknya, kambing dikenali sebagai Capra hicus,
adalah haiwan yang berkeupayaan untuk menyesuaikan diri di dalam apa
jua keadaan persekitarannya. Namun begitu makhluk ini lebih mudah
mengadaptasikan kawasan yang bercuaca panas berbanding sejuk atau
dingin. Berbeza dengan lembu, kambing lebih cenderung untuk memilih dan
memamah pucuk-pucuk serta daun-daun muda berbanding meragut di padang
rumput. Keupayaan haiwan ini untuk memamah pucuk dan batang tanaman
bukan sahaja menjadikan ia berkemampuan untuk hidup di kawasan yang
sukar seperti gurun dan bukit-bakau, tetapi juga menjadikan ia sebagai
agen-agen biologi kawalan tanaman dan rumpai yang berkesan.
Kambing
mempunyai sifat-sifat unik yang kurang terdapat pada haiwan berkelompok
lain, iaitu kecederungan untuk meneroka kawasan. Sifat ini adakalanya
memberi masalah kepada pengurusan terutama sekiranya kambing diternak di
dalam sistem semi intensif atau ekstensif.
Produk Kambing
i. Kambing Susu
Alpine, Saanen dan Taggenburg
 |
Kambing Saanen |
ii. Kambing Pedaging
Boer, Katjang/Kacang/Kambing kampong, Black Bengal, Savanna,
Kalahari Red dan Jermasia
 |
Kambing Boer |
iii. Kambing dwi Fungsi (susu dan daging)
Shami Cyprus@Damascus (pasaran sekarang), Jamnapari dan Anglo-Nubian
 |
Kambing Jamnapari |
Penternakan kambing boleh dikategorikan kepada 3 jenis sistem berdasarkan kepada kaedah pengurusan dan penjagaan ternakan iaitu,
a. penternakan intensif
b. penternakan semi intensif
c. penternakan ekstensif
Setiap sistem penternakan ini mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri.
a. Sistem Penternakan Intensif
Sistem
penternakan jenis ini menekankan penternakan kambing di dalam kandang.
Konsep ini menyamai konsep penternakan lembu fidlot. Ternakan yang
dikurung diberi makanan menggunakan kaedah potong dan angkut. Secara
tidak langsung, ia menambah beban kerja kepada penggunaan tenaga buruh
yang agak ramai. Namun begitu, penggunaan sistem ini boleh mengurangkan
kemungkinan berlakunya masalah kecacingan (helmintiasis) dan keracunan makanan. Di samping itu, ternakan lebih mudah dijaga, diawasi dan dipantau.
Sistem
ini lebih popular kepada penternak-penternak kerana beberapa sebab;
antaranya faktor kecurian yang sering berlaku, pengaturan sistem baka
yang lebih bersistematik dan tepat serta mudah untuk menjaga diet
kesihatan kambing-kambing ternakan, apabila setiap ternakan perlu diberi
suntikan seperti vitamin, antibiotik dan sebagainya.
b. Sistem Penternakan Semi Intensif
Di dalam sistem
ini, ternakan dilepaskan untuk tujuan meragut pada masa-masa yang
ditentukan di kawasan yang telah disediakan. Ini bukan sahaja memudahkan
kerja-kerja pembersihan kandang tetapi juga mengurangkan stress atau
tekanan kepada ternakan.
c. Sistem Penternakan Ekstensif
Adalah suatu sistem penternakan yang
paling kurang dipraktikan atau kurang diminati oleh ladang-ladang
komersial, tetapi diminati oleh penternak-penternak kecil kampong
sebagai suatu bentuk hobi. Sifat kambing yang suka meneroka menyukarkan
pengurusan, pengawalan dan pemantauan ternakan. Di antara
masalah-masalah yang sering dihadapi adalah kehilangan atau kecurian,
mudah dihingapi penyakit parasit (kecacingan), keracunan makanan
(apabila terdapat jiran yang menjembur racun) dan kekurangan nutrien.
Amalan
perladangan campuran atau rengkasnya perladangan secara integrasi
ternakan dan tanaman merupakan salah satu konsep kaedah pengoptimaan
tanah bagi mengatasi masalah kekurangan tanah bagi tujuan pertanian dan
penternakan. Di dalam konsep ini, ternakan menggunapakai sumber-sumber
bahan makanan yang tumbuh melata di dantara tanaman utama. Di samping
itu, bahan-bahan sampingan pertanian seperti daun kelapa sawit boleh
digunakan sebagai bahan makanan ternakan. Hubungan dua-hala ini memberi
kelebihan dan keuntungan yang berlipat ganda. Ini akan mengurangkan kos
bagi mendapatkan makanan ternakan dan pada masa yang sama rumput rumpai
dapat dibersihkan secara biologi serta tanah dibajai dengan bahan
organik sisa buang ternakan.
Projek Penternakan Kambing
a. Perancangan projek
b. pembangunan perumahan atau kadang
c. sumber makanan dan ramuan makanan ternakan
d. pengurusan ternakan
e. pemasaran
Perancangan Projek
Parameter-parameter
am berikut adalah penting untuk digunakan di dalam merancang dan
memantau perkembangan projek penternakan kambing.
1. Keperluan keluasan seekor kambing (jantan & betina = 12-15 kaki)
2. Berat sewaktu dilahirkan (jantan = 1.5-1.8 kg; betina = 1.2 - 1.8 kg)
3. Umur kematangan (jantan = 9 bulan; betina = 6 bulan)
4. Berat matang (jantan = 28-32 kg; betina = 18-23 kg)
5. Kenaikan berat badan (ADG) (jantan 7 betina = 100 g - 250 g sehari)
6. Nisbah jantan kepada betina (jantan = 1 ekor; betina = 25 ekor)
7. Usia cerai susu (jantan & betina = 2-3 bulan)
8. Berat cerai susu (jantan & betina = 12-15 kg)
9. Usia pembiakan pertama ( jantan & betina = 18-20 bulan)
10. Kitaran estrus (betina = 21 hari)
11. Tempoh bunting (betina = 147-150 hari)
Perumahan dan kandang kambing
Terdapat
pelbagai jenis, bentuk dan rupa rumah serta kandang kambing. Setiap
sesuatu rekaan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Namun
demikian, setiap binaan berkenaan perlu memberikan persekitaran yang
selesa untuk didiami oleh haiwan tersebut. Di samping itu juga, rekaan
binaan berkenaan sebaik-baiknya dapat membantu mempermudahkan
kerja-kerja pengurusan harian ternakan dilakukan.
Susunatur rumah atau kandang
Ia perlu mengikuti susunatur memanjang yang bertentangan dengan arah pergerakan matahari.
Sebaik-baiknya cahaya matahari di waktu pagi dan petang boleh mencecah
di bahagian tengah binaan (rumah atau kandang). Ini bertujuan
merendahkan kadar kelembapan dan menjadikan kandang kambing senantiasa
kering.
Jarak
minima perumahan atau kandang kambing di antara satu dan yang lain
perlu sekurang-kurangnya berjarak 30 kaki atau sama dengan lebar rumah
atau kandang kambing berkenaan. Ini bertujuan memberi ruang aliran udara
di antara perumahan atau kandang yang baik dan merendahkan perpindahan
penyakit melalui udara dari satu kandang ke kandang yang lain.
Atap
Pada
ketika ini, terdapat pelbagai jenis atap yang terdapat di pasaran
seperti zink, asbestos dan aluminium. Namun demikian, pemilihan bahan
atau atap yang bersesuaian perlu mengambilkira kos dan keupayaan bahan
tersebut untuk tidak menyimpan haba panas atau sejuk yang keterlaluan.
Kawasan
kandang secara keseluruhannya, sebaik-baiknya dilitupi atap yang dapat
melindungi ternakan dari hujan dan panas terik matahari. Jarak minima di
antara atap bahagian tengah kandang dengan lantai ialah 12 kaki. Sementara itu di bahagian tepi kandang, jarak minima di antara atap dan lantai ialah 8 kaki.
Adalah lebih baik sekiranya, di antara atap kandang yang biasa
diletakkan atap yang bersifat tembus cahaya (translucent). Ini bertujuan
memberikan pencahayaan semulajadi ke dalam kandang serta dapat membantu
merendahkan kadar kelembapan di dalam kandang kambing.
Lantai Kandang
Bahan
yang digunakan sebagai lantai kandang, samada bahan plastik atau kayu
perlulah bersifat tahan lama, tidak mudah rosak, tidak mudah melekit dan
cepat kering. Lantai tersebut perlu mempunyai ruang-ruang yang berjarak
di antara 1cm - 1.5cm bagi membolehkan najis atau tinja kambing jatuh
ke bawah. Sebaik-baiknya batang kayu atau plastik yang digunakan sebagai
lantai tidak terlalu lebar (1"x2"). Ruang keluasan batang kayu atau
plastik yang kecil memudahkan kerja-kerja pembersihan dan penyemburan
bahan-bahan anti bikteria dilakukan.
Jarak
di antara lantai kandang dan lantai bawah (permukaan tanah)
sebaik-baiknya di antara 5 - 5.5 kaki. Jarak yang lebih rendah akan
memungkinkan ternakan kambing menghadapi masalah kesihatan seperti mata
berair, batuk dan sukar bernafas yang berpunca dari najis atau tinja
yang terkumpul di bawah kandang.
Lantai Bumi
Ruang
lantai bumi sebaik-baiknya disimen dan mempunyai kecerunan
sekurang-kurangnya 2 darjah. Ini bertujuan menjadikan kerja-kerja
pembersihan dan pengumpulan najis di bahagian hujung kandang lebih mudah
kerana dibantu oleh perbezaan titik graviti. Baja organik yang
dihasilkan dari najis kambing yang dikutip dari lantai simen adalah
lebih berkualiti berbanding lantai bumi yang cuma dilapisi pasir atau
tanah.
Tangga Kandang
Kebiasaanya
tangga kandang diperbuat dari kayu, namun demikian alternatif yang baik
ialah penggunaan tangga yang diperbuat dari konkrit kasar dan kesat.
Ini amat berguna terutama sekiranya penternak mengamalkan penternakan
sistem semi intensif yang menyebabkan ternakan sentiasa menggunakan
tangga untuk naik dan turun ke kawasan kandang. Pergeseran di antara
tangga konkrit yang kasar dan kesat dengan kuku kaki kambing secara
pasifnya membantu mengurangkan masalah kuku panjang.
Kandang
Keluasan
yang bersesuaian untuk seekor kambing betina ialah di antara 12 - 15
kaki persegi. Bagi kegunaan 25 ekor kambing betina dan seekor kambing
jantan, sebanyak 312 kaki persegi kawasan diperlukan. Setiap kandang
perlu disediakan palong makanan dan palong minuman.
Terdapat
pelbagai jenis bahan yang boleh digunakan sebagai palong makanan. Di
antaranya ialah penggunaan penakung air hujan palstik, tong plastik dan
palong buatan kayu. Ketinggian palong makanan sebaik-baiknya tidak lebih
tinggi dari paras dada kambing dan bersekat-sekat. Ini bertujuan
mengelakkan kambing dari memasuki tempat makanan dan mengotorinya.
Palong
minuman adalah lebihkurang sama dengan palong makanan, namun demikian
kambing mempunyai sifat untuk tidak menggunakan air minuman dari
takungan atau palong air yang kurang bersih. Yang lebih efisyen dan
kreatif adalah membuat paip air pada setiap ruang-ruang dan diletakkan
punting-punting (automated water drinker), agar kambing-kambing
tersebut menyonyot dan ini akan membuatkan pembaziran serta minuman
tercemar dek najis kambing tersebut. Penggunaan paip minuman automatik
ini bukan sahaja menjaga kebersihan minuman ternakan tetapi juga mampu
mengurangkan kos pembaziran air.
Pemagaran Kawasan
Kawasan
projek penternakan adalah perlu dipagar bagi mengelakkan berlaku
perkara-perkara yang tidak diingini seperti kehilangan atau pemangsaan
haiwan lain dan kemasukan agen-agen yang berpotensi membawa penyakit
seperti tikus yang akan menggigit punting ibu kambing betina yang boleh
menyebabkan penyakit yang serious.
Jenis pagar perimeter yang boleh digunakan ialah pagar jenis cyclone tightlock high tensile. Alternatif kepada pagar jenis ini adalah penggunaan bahan chain link atau kawat duri. Namun demikian, penggunaan 2 jenis pagar ini kurang efektif berbanding penggunaan pagar jenis CTHT tersebut.
Terdapat 3 jenis tiang pagar yang boleh digunakan iaitu jenis besi galvani (GI) angle iron
dan kayu. Setiap tiang perlu berukuran 7 kaki keseluruhannya. Tiang
berkenaan akan ditanam sedalam 2 kaki dan meninggalkan ketinggian 5 kaki
untuk tujuan pemagaran. Jarak antara tiang sebaik-baiknya adalah 8
kaki.
Makanan dan Minuman
Survival
projek penternakan adalah bergantung kepada keupayaan untuk menyediakan
makanan ternakan yang emncukupi kandungan zat nutriennya serta murah
dari sudut kos pengurusan. Ini adalah keranan lebih dari 70% kos
pengurusan datangnya dari kos makanan ternakan. Kenaikan harga bahan
bakar dunia memberi kesan kepada kos makanan ternakan di pasaran
tempatan. Oleh yang demikian, adalah penting untuk pentenak-penternak
membangunakan sendiri pengeluaran sumber-sumber makanan ternakan atau
mengenalpasti sumber hasil sampingan pertanian atau sumber-sumber
daun-daun hutan yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber makanan ternakan.
Haiwan
juga memerlukan makanan seimbang atau diet seimbang seperti manusia,
yang mengandungi zat-zat nutrien protein, karbohidrat, lemak, vitamin
dan garam galian. Kekurangan zat-zat ini di dalam makanan ternakan akan
membawa kepada masalah kesihatan ternakan kambing di dalam jangka masa
panjang. Secara tidak langsung menjejaskan prestasi ternakan dan projek
ternakan secara amnya.
Setiap
zat-zat nutrien mempunyai fungsi-fungsinya tertentu. Zat protein
diperlukan oleh tubuh kasar kambing untuk membina otot-otot yang kuat
selain menjadi elemen penting di dalam proses pemulihan. Karbohidrat
diperlukan sebagai bekalan tenaga, lemak berfungsi sebagai penebat haba,
ia juga berfungsi sebagai elemen simpanan untuk digunakan apabila
kekurang karbohidrat.
Vitamin
merupakan zat nutrien yang penting, walaupun ia cuma diperlukan dalam
kuantiti yang sedikit. Kekurangan vitamin boleh menyebabkan beberapa
fungsi sel dan organ kambing terjejas, yang mana boleh membawa kepada
berlakunya penyakit kepada haiwan ternakan. Garam galian yang penting
seperti kalsium dan fosforus diperlukan untuk pertumbuhan tulang, gigi
dan kesihatan. Kekurangan garam seperti natrium membolehkan
ketidakseimbangan tekanan bendalir di dalam tubuh kambing. Berbanding
zat-zat lain yang boleh didapati pada sumber makanan ternakan seperti
rumput dan dedaun hijau, pemberian garam jilat boleh membantu menampung
kekurangan yang mungkin berlaku pada sumber makanan tersebut.
Air adalah antara komponen terbesar
di dalam badan ternakan, di mana 70% daripada badan ternakan memerlukan
air. Oleh yang demikian, adalah wajar supaya ternakan senantiasa
diberikan sumber air minuman yang bersih sepanjang masa. Sumber makanan
kambing secara amnya boleh dibahagikan kepada 2 bahagian, iaitu makanan
utama (rumput atau dedaun hijau) dan makanan tambahan. Penternak
digalakkan untuk memperuntukkan sebahagian kawasan ternakan untuk
ditanam tanaman makanan ternakan terutamanya rumput Napier atau jagung.
Ini adalah kerana 2 tanaman tersebut mempunyai pengeluaran yang tinggi
dan sangat sesuai ditanam untuk kawasan yang kecil. Walaupun demikian,
terdapat tanaman lain yang sesuai ditanam dan dijadikan sebagai tanaman
ternakan. Di antaranya ialah;-
1. rumput Guinea
2. rumput Humidicola
3. setaria
4. centrosema (tanaman kekacang)
5. petai belalang (leucaena leucocephala)
6. daun nangka
7. glyridisia
8. pokok balik angin
Selain daripada itu, penternak boleh
menggunakan bahan-bahan makanan seperti hampas kacang soya, mil kacang
dan mil ikan sebagai sumber protein. Penggunaan hampas sagu rumbia dan
dedak padi boleh juga diberikan sebagai sumber tenaga.
Pengurusan Ternakan
Secara amnya, kitaran pengurusan
ternakan bermula dengan kelahiran kepada pembiakan seterusnya
kebuntingan dan beranak kembali. Berikut adalah peringkat-peringkat
pengurusan ternakan:-
1. Peringkat kelahiran
Selepas kelahiran, anak kambing
mesti diberikan susu awal (ibunya) ataupun kolostrum. Pemberian susu ini
adalah penting kerana susu awal ibu kambing yang dihasilkan di
sepanjang 3 hari pertama selepas kelahiran mengandungi antibodi yang
diperlukan bagi melingungi anak-anak kambing dari serangan penyakit.
Selain daripada itu kolostrum mengandungi zat protein yang tinggi yang
diperlukan oleh tubuh anak-anak kambing untuk tumbesaran. Pada
kebiasaannya, anak-anak kambing akan menghisap sendiri, sekiranya
anak-anak kambing lemah atau tidak berbuat demikian, tindakan memerah
dan menggunakan botol susu atau syringe perlu dilakukan bagi mempastikan anak-anak kambing diberi kolostrum secukupnya.
Selain daripada mempastikan
anak-anak kambing mendapat kolostrum, talipusat anak-anak kambing yang
didapati panjang perlulah dipotong sekurang-kurangnya setengah inci dari
badan. Iodin perlu disapukan pada pusat berkenaan bertujuan mengelakkan
menjadi sumber laluan kepada agen penyakit. Di masa awal peringkat
kelahiran dalam tempoh 4 hingga 6 minggu pertama, makanan yang
secukupnya perlu disediakan secara potong angkut kepada ibu kambing. Ini
membolehkan induk (ibu kambing) berkenaan berehat dan memulihkan diri
untuk bersedia pada peringkat seterusnya. Sebaiknya selepas kelahiran,
ibu-ibu kambing diberikan minuman berglukos bagi memberi tenaga tambahan
akibat proses bunting dan kelahiran.
2. Peringkat cerai susu
Cerai susu adalah peringkat
anak-anak kambing dipisahkan daripada ibunya. Namun demikian, peringkat
ini perlu dilakukan secara beransur-ansur. Pada ketika anak-anak kambing
berusia menghampir 3 atau 4 bulan, sumber makanan seperti rumput atau
dedaun hijau boleh diberikan secara sedikit demi sedikit. Selalunya pada
usia ini anak-anak kambing sudah mulai belajar memamah dedaun hijau.
Pada lingkungan usia selewat 4 bulan, anak-anak kambing sepatutnya sudah
dipisahkan dari ibunya. Selalunya kelewatan melakukan cerai susu kepada
anak-anak kambing menyebabkan prestasi kambing berkenaan seperti berat
badan kambing dewasa, tempoh kematangan dan pembiakan akan terjejas.
Anak-anak kambing jantan yang mencapai usia 9 bulan perlulah dipisahkan
daripada anak-anak kambing betina. Ini adalah kerana umur ini adalah
mula mencapai kematangan seksual atau mengawan dan berkebolehan untuk
membiak.
3. Penjagaan kambing dewasa
Kambing-kambing dewasa dikandangkan
mengikut jantinanya. Kambing jantan dan betina dicampurkan hanya apabila
hendak dilakukan proses pembiakan. Nisbah kambing jantan berbanding
kambing betina adalah 1 ekor jantan untuk 20 - 25 ekor kambing betina.
Pada ketika tidak dibiakkan, kambing jantan perlu diasingkan ke dalam
kandang individual dan tidak dicampurkan dengan kambing jantan yang
lain. Ini bertujuan untuk mengelakkan pemangsaan akibat dominasi kambing
jantan yang lain.
Salah satu proses yang penting di
dalam penternakan kambing ialah proses pemilihan untuk tujuan baka.
Proses ini adalah bertujuan menentukan ternakan yang berprestasi tinggi
sentiasa berada di dalam ladang. Kambing-kambing yang gagal menunjukkan
prestasi yang baik selalunya dikeluarkan dari ladang ternakan dan dijual
sama ada sebagai ternakan hidup atau disembelih untuk daging.
Pemilihan dilakukan berdasarkan
kepada pemerhatian dan pengamatan terhadap ternakan dan dibantu oleh
data-data yang telah direkodkan seperti berat lahir, berat cerai susu,
kenaikan berat badan harian yang tinggi, jarak kelahiran yang singkat,
sentiasa beranak kembar dan berat matang yang dicapai dalam masa
singkat.
4. Pemasaran
Secara amnya, permintaan terhadap
daging kambing adalah bermusim dan ini dapat dilihat menigkat
terutamanya ketika perayaan-perayaan seperti Hari Raya dan Deepavali.
Hasilnya pada ketika musim-musim perayaan, berlakunya kekurangan daging
kambing dalam pasaran negara dan ini menyebabkan fenomena penigkatan
sementara pengimportan kambing hidup untuk tujuan penyembelihan dan
daging kambing sebagai makanan. Selain daripada musim perayaan,
permintaan terhadap daging kambing tetap ada walaupun harga borong
daging kambing agak mahal iaitu di antara RM15 - RM24 sekilo. Penggunaan
perkapita daging kambing di Malaysia masih berada di tahap rendah iaitu
0.8 - 0.9 kg. Ini berkemungkinan didorong oleh persepsi orang ramai
tentang kaitan di antara pemakanan daging kambing dan kesihatan. Namun
demikian, kajian yang dilakukan oleh USDA mendapati daging kambing
kurang daripada segi kandungan kolestrol dan lain-lain parameter yang
dipercayai boleh menyumbang kepada masalah kesihatan.
Cuba lihat statistik di bawah yang
bersumberkan daripada Pangkalan Data Nutrient USDA pada 14 Julai 2001,
perbandingan haiwan-haiwan ternakan lain.
Kambing, Ayam, Lembu, Bebiri dan Khinzir
a. kalori 122 162 179 175 180
b. lemak (g) 2.6 6.3 7.9 8.1 8.2
c. lemak tepu (g) 0.79 1.70 3.0 2.90 2.90
d. protein (g) 23 25 25 25 24
e. kolestrol (g) 63.8 76.0 73.1 78.2 73.1
Daging kambing mendapat permintaan
oleh pasaran melalui pasaraya-pasaraya besar atau hypermarket seperti
TESCO, JUSCO, CAREFOUR dan GIANT. Selain daripada itu boleh dibekalkan
untuk memenuhi permintaan hotel dan restoran. Cabaran utama di dalam
industri ini ialah berkemampuan untuk membekalkan di dalam kuantiti yang
besar dan berterusan. Namun melalui minat dan kesungguhan, usaha dan
sabar serta menyusun atur strategi yang bersesuaian, pasti mampu
mengatasi cabaran seterusnya bagi memberi hasil dan pulangan yang
lumayan.